Monday, 10 February 2014

Panduan Memilih Ubat Tradisional yang Selamat dan Terjamin Kualiti

Hari ini saya ingin berkongsi sedikit tips untuk mengetahui  produk tradisional termasuk herba yang berada dipasaran adalah produk yang berdaftar atau sebaliknya. Mungkin ramai telah mengetahuinya tapi saya percaya ada segelintir yang mungkin terlepas pandang tentang isu ini. Kenapa perlu kita memilih produk tradisional yang telah berdaftar? Hal ini bagi memastikan produk yang diambil adalah selamat dan tidak mengandungi bahan terlarang yang memudaratkan kesihatan.

Semua ubat-ubatan yang berada di pasaran perlulah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Produk yang berdaftar dengan KKM akan mempunyai no pendaftaran yang bermula dengan ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan di akhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu:

Kategori pendaftaran produk:
A – Ubat mengandungi racun terkawal
X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal /OTC
T – Ubat tradisional
N – Suplemen kesihatan

Contohnya, jika untuk produk tradisional dan herba, nombor pendaftarannya akan berakhir dengan huruf T seperti di bawah

MAL20032515T


Selain daripada mempunyai nombor pendaftaran, produk yang berdaftar juga perlu mempamerkan label hologram meditag pada pembungkus ubat.



Sekiranya produk yang anda beli tidak mempunyai no pendaftaran dan label hologram meditag, dikhuatiri produk itu tidak berdaftar dan dinasihatkan untuk tidak membeli produk tersebut kerana tidak terjamin kualiti dan keselamatannya.

Tindakan anda sebelum membeli sesuatu produk tradisional, pastikan ianya berdaftar dengan KKM dengan melihat kepada 2 kriteria ini:

1)     Nombor pendaftaran yang bermula dengan ‘MAL’ di ikuti 8 digit nombor dan berakhir dengan huruf T.
2)     Label hologram meditag pada pembungkus ubat.




Mudahkan... Pastikan produk tradisional yang kita beli adalah selamat dan terjamin kualitinya.

Jika anda masih ragu-ragu dengan status pendaftaran sesuatu produk tradisional, anda  boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan menghubungi Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) di talian 03-7883 5400 atau melayari laman sesawang www.bpfk.gov.my. Sekiranya terdapat produk tidak berdaftar dalam pasaran, anda boleh membuat laporan kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia melalui talian 03-7841 3200 atau mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan atau e-mel kepada pharmacy1@moh.gov.my.

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat pada semua, InsyaAllah.